Showing posts with label Karya Pengurusan. Show all posts
Showing posts with label Karya Pengurusan. Show all posts

April 6, 2010

BICARA IMAN : MENANGISLAH SEPUAS-PUASNYA

Susunan oleh : Mohd Nazri b. Mohd Riffin
(Penasihat Kerohanian Surau Perdana UTHM)

Ketika kanak-kanak,
menangisku kerana haus dan lapar..
menangisku kerana inginkan belaian hangat ibu ditubuhku,
menangisku kerana inginkan barang permainan,
menangisku kerana inginkan perhatian dari ayah dan ibu setiap masa.


Ketika usiaku menjangkau awal remaja,
menangis ku kerana rakan-rakanku,
menangis ku kerana gelojak rasa sayang terhadap kaum yang bertentangan dengan jantinaku,
menangis ku kerana aku gagal dalam bercinta,
menangis ku kerana aku gagal atau cemerlang dalam peperiksaan,
menangis ku juga kerana ada ketika aku berjaya menarik perhatian gadis dan jejaka,
menangis ku kerana kesepian tanpa rasa rindu dan cinta pada hamba ciptaanNya.


Ketika usiaku menginjak dewasa,
aku mungkin menangis kerana susahnya menempuh alam pekerjaan, menuntut seluruh kosentrasiku, memerah keringatku,


Menangis aku kerana anak-anakku,
menangis ku kerana isteri atau suamiku,
menangis aku kerana tidak punya kereta besar atau rumah yang sempurna,
menangis ku kerana tidak mampu memberi kesenangan harta benda kepada keluargaku.


Ketika usiaku berada dipenghujung..
aku menangis kerana gagal memberi kesenangan kepada keluargaku,
menangis aku kerana kesihatanku yang sudah mula merosot,
menangis aku kerana anak-anakku pergi meninggalkan aku, berkhidmat untuk keluarganya,
menangis aku kerana jarum silih berganti menusuk kulitku,
menangis aku kerana aku bakal meninggalkan dunia, sedangkan aku masih belum menangis kerana aku lalai pada perintahNya!!


Mungkin kita tergolong dalam salah satu rentetan usia tersebut.. kita sentiasa menangis untuk perkara-perkara remeh meliputi hal-hal duniawi... tapi kita selalu alpa untuk menangis atas kejahilan kita mengenal Yang Maha Esa, kita sibuk mengumpul ilmu serta harta dunia, sehingga kita lupa untuk menangis atas kurangnya harta serta saham untuk alam abadi kelak.


Kita menangis kerana hilangnya cinta pada kekasih, isteri atau suami serta anak-anak, tetapi kita alpa untuk menangis atas Kehilangan Nikmat Iman Serta Kasih Allah Kepada Kita. Kita menangis kerana kecacatan fizikal yang diberi Ilahi, namun kita gagal untuk menangis tanda syukur, atas nikmat lain yang diberi tanpa meminta secebis balasan sekalipun..


Renung-renungkanlah.. saya mengingatkan diri saya yang selalu lupa, untuk menangis keranaNya.. sebagai panduan kita bersama..

February 25, 2010

SURAU : SATU REVOLUSI YANG MENOLEH

Oleh : Mohd Faizal b. Che Mohd Husin (Pengerusi Surau Perdana UTHM)


Mungkin ada pengertian yang lebih jauh dan subjektif yang boleh diberikan kepada surau daripada wadah penghambaan diri umat islam kepada Allah S.W.T semata-mata. Seperti juga masjid, surau juga sering digambarkan dengan aktiviti-aktiviti pemujaan yang pasif dan pemborosan emosi golongan eskapis dan reaksionis. Akhirnya surau diperlukan apabila monumen-monumen yang menghimpunkan mitos dan misteri. Juga ia jauh sekali menuntut sebarang sikap yang wajar daripada kita semua.

Sesungguhnya surau bukanlah rumah ibadat semata-mata, juga bukanlah terowong yang menyedut harapan-harapan utopia dan fantastik. Justeru surau seperti juga masjid, merupakan jantung Islam yang mengepam segala bentuk agenda Islamiah ke seluruh masyarakat Islam. Selain itu, surau adalah pusat rawatan bagi segala penyakit sosial yang kian hebat menyerang manusia hari ini. Jadi, daripada istilah surau yang hakikidan maknawi ini, dapatlah dkatakan bahawa rumah ibadat ini adalah simbol kekuatan umat Islam dalam satu horizon ruang dan waktu. Jikalau sesebuah surau itu makmur dalam ertikata mampu menghidupkan jemaah sembahyang fardu yang lima waktu itu, maka bolehlah ditebak bahawa masyarakat muslim yang mendiami horizon itu kuat de facto dari segi ubudiyyah kepada yang Maha Esa dan jalinan ukhwah Islamiah sesama muslim yang utuh.

Jadi, untuk memperkasakan surau pada tahap di atas, ia menuntut tanggungjawab yang bukan kepalang daripada kita. Tanggungjawab yang dituntut tidaklah terbatas kepada bentuk-bentuk tertentu, sebaliknya ia bergantung individu-individu dalam masyarakat yang didiami. Dan tanggungjawab itu bukanlah disandarkan kepada jawatan-jawatan yang tersedia dalam sesebuah organisasi sahaja. Ia seharusnya difahami sebagai komitmen umat dalam mengimarahkan masjid mahupun surau tersebut. Ini boleh dilakukan denga menghadirka diri untuk sembahyang fardu secara berjemaah. Sepertimana yang sedia maklum, solat fardu berjemaah di tempat azan diazankanmempunyai fadhilat dan hikmah yang banyak banyak sekali. Ianya melebihi solat persendirian sebanyak 27 kali ganda sebagai pencorak perwatakan muslim yang benar-benar unggul dala menghadapi ranjau di sepanjang jalan kehidupan.

Solat berjemaah merupakan simbol kepada sebarang bentuk persatuan di mayapada ini. Daripada imam kepada makmum, dapat diperhatikan bagaimana sebuah persatuan ideal bkerja dibawah lapisan strata yang sama. Apabila sang imam melakukan suatu rukun, maka sang makmum treus mengikuti perbuatan tersebut tanpa banyak soal. Di sana, wujud pertautan hati yang akhirnya jalinan-jalinan itu membentuk satu buhulan yang mustahil dipecahkan oleh kekuatan murahan makhluk-makhluk Allah S.W.T.

Solat berjemaah adalah roh kepada jasad Islam itu sendiri. Jadi kecemerlangan dalam bidang ini sekaligus mengimbaskan kegemilangan agama Islam. Dan alamat ini dapatlah dilihat pada rumah-rumah ibadat seperti masjid ataupun surau.

Namun, hujah-hujah diatas menjadi dogengan yang muluk-muluk dan retorika semata-mata apabila ianya dihamparkan pada realiti zaman moden yang ditandai dengan materialistik ini. Keghairahan dan keriuhan manusia dalam pesta gila mengejar keseronokan dan kepuasan inderawi selahapnya telah memapas gunung kepercayaan terhadap perkara-perkara yang bersifat metafizik dan transcendental khususnya agama. Agama bukan saja telah dipandang sepi, malah ianya ditenung dengan penuh perasaan curiga dan prasangka. Kenyataannya dapatlah dilihat pada hari ini iaitu agama dianggap penghambat kemajuan, kukubesi yang menindas pluralisme, dan paradoksialnya dianggap penyeru keganasan. Akhirnya simbol-simbol terutamanya masjid mahupun surau terus dianggap begitu statik dan hanya menunggu detik-detik kehancuran yang dibawa dewa-dewa maut yang digelar materialisme.

Jika diperpanjangkan akibat yang bakal dihadapi oleh manusia khususnya umat Islam, semestinya memahat masa dan ruang yang tidak sedikit. Juga artikulasi ini tinggal menjadi pemborosan semata-mata apabila tidak dikuntitkan dengan penyelesaian etika iaitu bagaimana sikap yang wajar disediakan wabak ini.

Sikap yang dituntut bukanlahdari individu-individu tertentu, sebaliknya kepada seluruh umat Islam. Dalam konteks mahasiswa seperti kita, apakah bentuk sumbangan yang diharapkan? Kalau tenaga yang ditagih, bagaimanakah bentuknya? Jika wang yang dipinta, berapakah jumlahnya? Andai masa yang didamda, berapakah tempohnya? Jawabnya, tentulah bukan itu ynag dituntut. Apa yang dituntut sebenarnya keseluruhan yang diatas! Ianya amat ringan kerana tanggungjawab ini ditebarkan kepada kaum muslimin yang kolektif.

Ini bermakna, setiap individu mempunyai tugas yang perlu dilangsaikan. Dan penyelesaian yang paling tipikal dan dituntut adalah menghadiri solat jemaah kerana ianya permulaan kepada segala bentuk revolusi. Revolusi yang dimaksudkan bukanlah evolusi mengubah sesuatu kepada bentuk yang baru, juga bukan revolusi yang menumpahkan darah; namun ia adalah perubahan dari sutu keadaan kepada keadaan yang lebih baik. Ini merupakan jihad ataupun hijrah. Revolusi ini ialah revolsi yang ingin mengambalikan umat islam kepada ajaran Islam, dan revolusi yang mengembaliakn Islam ke tingkatnya yang asli. Jadi, ia bukanlah revolusi yang meliberalkan Islam, sebaliknya ialah revolusi yang menoleh kearah keagungan Islam yang lampau ke dalam zaman sendiri.

Disini, penulis menyeru supaya kita semua dapat menyertai revolusi dengan menghadiri fardu solat-solat berjemaah di masjid ataupun di surau. Walhasil daripadanya bukan sahaja kepada islam auru surau atau masjid sahaja, malah ia turut memberi kesan kepada pelaksananya. Dengan kata lain, kemajuan dari revolusi ini bukanlah kepada subjeknya sahaja, malah objeknya turut merasakan faedah daripadanya iaitu mendapat keredhaan Allah S.W.T di dunia dan di akhirat. Insya Allah.

November 16, 2009

SURAU : SATU PENJENAMAAN SEMULA

oleh : Mohamed Faizal b. Zainol

Apabila berbicara tentang kejuruteraan pasti kita tak bisa memisahkan antaranya dengan penyelidikan dan pembangunan. Hasil penyelidikan dan pembangunan akan terhasillah konsep rekabentuk terbaru. Lantas apabila konsep ini direlasikan dengan realiti surau pada masakini, maka wujudnya satu keperluan untuk menjenamasemulakan surau berpaksikan konsep penyelidikan dan pembangunan agar memenuhi kehendak mahasiswa yang lazimnya menginginkan kelainan dalam penterjemahan aktiviti-aktiviti surau tanpa membatasi prinsip-prinsip Islam.

Imej surau seringkali dikaitkan melibatkan aktiviti spiritual semata-mata haruslah dinafikan dengan penjenamaansemula ini, sesuai dengan peredaran dan kehendak semasa. Selaras dengan itu, pengurusan surau dengan penuh rasa insaf telah merangka lima asas penjenamaansemula surau bagi memastikan mesej penjenamaansemula ini dapat diterjemahkan dalam lisan dan tindakan dengan lebih jelas. Antara lima asas tersebut ialah penstrukturan semula organisasi dengan mewujudkan jawatan-jawatan yang lebih spesifik, mewujudkan pelan strategik surau untuk dijadikan agenda utama organisasi, menampilkan muka-muka baru dalam organisasi yang mewakili pelbagai latarbelakang, membahagikan tanggungjawab berdasarkan kesesuaian dan kepakaran individu agar bisa menterjemahkan hasil kerja terbaik dan memperkenalkan disamping memperkasakan semula aktiviti-aktiviti surau secara lebih sistematik.

Aktiviti kemahasiswaan sewajarnya menjadikan surau sebagai pusat sehentinya. Sebagai contoh diskusi akademik, diskusi ilmiah, aktiviti keusahawanan, permainan yang bersesuaian, kempen-kempen dan sebagainya boleh memanfaatkan surau selagi tidak bercanggah dengan syarak. Insya Allah berdasarkan lima asas tersebut pengurusan surau menyeru seluruh mahasiswa atau mahupun bukan mahasiswa dapat membantu dan bersama-sama pengurusan surau dalam menjayakan misi dan visi ini dengan secara bersama menganjurkan aktiviti-aktiviti yang memusatkan surau sebagai pusat sehenti utama.

Pendekatan mesra mahasiswa juga akan cuba diterapkan dengan menonjolkan imej surau untuk semua selaras dengan tema surau. Pengurusan akan terus menerima teguran, kritikan dan pandangan daripada semua pihak disamping mengalu-alukan kerjasama dan bantuan idea, tenaga juga kewangan dalam menterjemahkan segala gagasan suci ini semata-mata kerana Allah.

Segala abstraksi dan teori ini hanya akan terus kekal sebagai konsep semata-mata tanpa pasukan perlaksanaan yang mantap disamping tanpa mendapat dokongan dan sokongan daripada mahasiswa-mahasiswa, individu-individu dan organisasi-organisasi berkaitan dan juga pengurusan universiti. Oleh yang demikian saya menyeru pada semua agar kita sama-sama berganding bahu dalam menjayakan misi dan visi surau tanpa mengharapkan pujian, penghargaan dan balasan melainkan keredhaan Allah.

sumber: https://faizalzainol.blogspot.my/2009/02/surau-satu-penjenamaan-semula.html

October 17, 2009

FLASHBACK : KEMBARA MICROPHONE?

Sehari sebelum ramadhan tahun ini, saya dan firdaus telah ditugaskan untuk menguruskan urusan teknikal SP, ini berikutan surau perlu dipindahkan ke Dewan Aktiviti bagi menampung jemaah yang ramai dalam bulan ramadhan. Projek ini kami namakan Kembara Microphone, ini berikutan misi kami untuk mendapatkan sebuah microphone untuk Dewan Aktiviti khas untuk penggunaan imam dan yang mampu disesuaikan dengan sistem PA di dewan tersebut.

Projek ini bermula jam 5 petang selepas solat asar. Sebagai permulaan kami menjelajah pelbagai kedai elektrik di Parit Raja. Setelah hampir setengah jam melilau mencari. Akhirnya kami temui dua kedai yang menjual microphone. Kedai pertama menjual dengan harga kira2 RM70 termasuk pengubahsuaian. Manakala kedai kedua menjual kira2 RM40 tidak termasuk pengubahsuaian. Setelah berdiskusi berdua, saya dan firdaus membuat keputusan untuk membeli di kedai kedua iaitu kedai Amatuer Electronic dengan harga diskaun seperti di atas.



Setelah membeli microphone yang kami inginkan, kami pun mulakan fasa kedua, iaitu mendapatkan maklumat untuk proses pengubahsuaian microphone supaya ia boleh dimasukkan ke sistem PA di dewan aktiviti. .



Setelah mendapat pandangan daripada Uncle Chong daripada kedai Amatuer Electric yang mencadangkan kedai yang sesuai untuk pengubahsuaian. Projek seterusnya ialah terus berkunjung ke Kedai Yong Kiet Siang bagi merealisasikan proses pengubahsuaian microphone. Kedai tersebut memang agak kurang popular di Parit Raja berikutan namanya yang tidak menggambarkan fungsi dan prospek syarikat.



Sebaik sahaja kami masuk, kami disambut dengan penuh ceria oleh Uncle Yong dan isterinya Auntie Yong, mereka sebenarnya mahu menutup kedai. Tetapi setelah melihat kami berdua, mereka terus menangguhkan hajat mereka. Lalu melayani permintaan kami yang tidak seberapa ini. Kami serahkan kepada Uncle Yong, microphone, cable dan beberapa alatan sambungan. Uncle Yong dengan penuh teliti lantas dan pantas membuat kerjanya tanpa rasa ragu dan tanpa rasa gundah.



Setelah lama melalui proses penyambungan tersebut. Uncle pun dengan rasa senang menyerahkan kepada kami microphone yang telah siap. Firdaus pun bertanya "Berapa harga Uncle?", Uncle membalas, "RM2", Firdaus pun menoleh pada saya lalu berkata, "murah sangat ini, so nak bayar berape?". Saya memintas, "Firdaus, bagi je la berape2 pun, lebih pun xpe". Firdaus pun menghulurkan RM5 dan berkata, "...baki uncle simpan ye..". Mungkin dalam hati uncle menyebut, alhamdulillah jazakallah...



Inilah microphone yang telah siap diubahsuai dan telah berjasa selama sebulan dalam melayari Ramadhan bertempat di Dewan Aktiviti. Semoga ia akan terus diizinkan Allah untuk berfungsi dan menyambungkan baktinya pada Ramadhan akan datang dan yang seterusnya.

Terima kasih kepada saudara Firdaus kerana sudi mendermakan wang untuk surau bagi membeli microphone tersebut. Derma tersebut amatlah bermakna bagi SP. Semoga Allah akan membalasnya. Semoga budaya sedekah-mensedekahi ini terus menjadi amalan sesama kita demi mendapat keredhaan Allah. Teringat saya pada satu ayat yang berkaitan sedekah yang sangat menyentuh hati.

Sedekahlah dengan barang yang disenangi penerima. Allah melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah. Firman Allah yang maksudnya : “Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu, kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungghnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Ali-Imran:92)

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Ali-Imran:92)

p/s maaf susunan nukilan yang agak bersahaja

Oleh : Mohamed Faizal Zainol

October 3, 2009

Tips/panduan atasi Zina

Selagi dinamakan manusia, kita mempunyai perasaan suka mengasihi dan dikasihi. Memang adat kehidupan bahawa kasih cinta didahului dengan berasa rindu, namun jangan pula rindu berlebihan. Kerinduan kepada kekasih, sering kali membekaskan duka, penyakit menyebabkan kelemahan hati. Kita sebenarnya berperang dengan perasaan. Namun, seorang Muslim akan terasa nikmat jika dapat menjauhi keluhan, kesedihan dan kerinduan ini.

Ibnu Qayyim memberikan terapi mujarab mengenai masalah rindu. Sebelum itu beliau memberikan sebab mengapa rasa rindu berlebihan terjadi antaranya: Hati tidak terisi oleh rasa cinta, syukur, zikir dan ibadah kepada Allah sebaliknya membiarkan mata meliar. Pandangan dan renungan mata adalah jalan membawa kepada kesedihan dan keresahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pandangan mata itu satu daripada sekian banyak anak panah iblis.” Setiap penyakit ada ubatnya. Ubat yang terbaik adalah meneguk daripada pengajaran al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “Demikianlah supaya kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba kami yang terpilih.” - (Surah Yusuf, ayat 24)

  • Ikhlas kepada Allah. Ikhlas adalah ubat penyakit rindu. Ikhlas kepada Allah bermakna selalu berusaha berada di pintu ibadah dan memohon kesembuhan daripada Allah. Jika kita ikhlas kepada Allah, Allah akan menolong kita daripada penyakit kerinduan melalui cara tidak pernah terdetik di hati. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan: “Sungguh jika hati telah berasakan manisnya ibadah kepada Allah dan ikhlas kepada-Nya, nescaya ia tidak akan menjumpai hal lain yang lebih manis, indah, nikmat dan baik daripada Allah. Manusia tidak akan meninggalkan sesuatu dicintainya, melainkan selepas memperoleh kekasih lain yang lebih dicintainya.
  • Doa mengundang sikap, rasa fakir dan rendah diri di hadapan Allah. Oleh itu doa adalah salah satu bentuk ibadah yang agung. Ketika kita berada dalam kesempitan, kita bersungguh-sungguh dalam berdoa, berasakan Allah amat dekat mendengarkan rayuan.
  • Mengurus mata dan pandangan. Pandangan yang berulang-ulang adalah suis penting menyalakan api rindu. Orang yang memandang dengan sepintas lalu jarang berasakan hati terusik dan jatuh. Ibnul Qayyim menyatakan: “Orang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak tertimpa pelbagai kerosakan. Barang siapa yang terjun ke dalamnya maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri, tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya.”
  • Bernikah dan membina rumah tangga adalah langkah paling baik. Inilah ubat rindu paling baik. Tidak semestinya bernikah dengan orang yang kita kagumi. Meskipun pernikahan itu dilangsungkan tidak dengan orang dicintai dan diidamkan.


Susunan oleh Muhammad Rahmat

September 17, 2009

RENUNGAN AIDILFITRI

Assalamualaikum dan Salam Aidilfitri

Semoga Allah mengurniakan kita ketenangan dalam menghadapi ujian dan dugaan hidup yang silih berganti, detik demi detik dalam mencari keredhaanNya. Semoga Allah mengekalkan iman yang kita miliki dan meningkatkannya hari demi hari. Semoga Allah menyempurnakan akhlak kita dan memperelokkan rupa paras kita dan menjadikan kita sesedap mata memandang bagi seluruh makhluk ciptaanNya.

Syawal berkunjung tiba, seperti biasa syawal akan dipenuhi dengan budaya ziarah-menziarahi dan sedekah-mensedekahi, cuma dikesempatan yang ada, inginku berpesan pada diri dan teman-teman supaya menjaga adab-adab ziarah, ambillah masa seketika, belajar sejenak tentang adab-adab ziarah. Supaya ziarah yang kita lakukan mendatangkan pahala kepada kita dan kepada orang yang menerima penziarahan kita.

Pelihara mata ketika ziarah usah melilau mata memandang harta benda tuan rumah kecuali dengan keizinan dan redha tuan rumah, pelihara suara ketika berbicara ketika menziarah, pilih masa yang paling sesuai ketika ziarah, dan pastikan tempoh ziarah tidak terlalu lama supaya tuan rumah memiliki masa untuk berehat ataupun memiliki peluang turut sama meraikan aidilfitri dengan aktiviti-aktiviti yang dirancangnya bersama keluarga ataupun kawan-kawan mereka.

Jika mampu, bersedekahlah kepada mereka yang lebih afdhal, usah bersedekah kerana memilih bulu, atau keturunan, atau latarbelakang semata-mata kerana ingin menjaga standard atau menjaga nama. Seafdhal-afdhalnya sedekahlah kepada orang miskin yang benar-benar memerlukan pensedekahan. Berkongsilah sinar aidilfitri dengan mereka yang benar-benar memerlukan terutamanya anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, orang-orang kurang upaya dan tidak lupa terhadap warga tua.

Allah SWT bertanya kepada Nabi Ibrahim AS, “Tahukah kamu mengapa Aku memberi gelar kepadamu Khalilullah, kekasih Allah? Nabi Ibrahim menjawab; Tidak tahu ya Rabb! Lalu Allah menegaskan, Lantaran kamu suka memberi makan orang-orang miskin dan solat dikala orang lain sedang tertidur lelap".


Rasulullah SAW pernah berpesan kepada isterinya, "Wahai Aisyah, cintailah orang miskin dan akrablah dengan mereka, supaya Allah akrab juga dengan engkau pada hari kiamat" (HR Al Hakim). "Allah semakin memperbanyakkan kenikmatanNya kepada seseorang kerana ia banyak diperlukan oleh orang lain. Barangsiapa enggan memenuhi keperluan-keperluan orang lain bererti ia telah merelakan lenyapnya kenikmatan bagi dirinya" (HR Baihaqi).


Rasulullah SAW juga pernah bersabda, "Orang yang bekerja keras untuk membantu janda dan orang miskin adalah seperti pejuang di jalan Allah atau seperti orang yang terus menerus solat malam atau terus berpuasa" (HR Muslim). "Segala sesuatu ada kuncinya, dan kunci syurga adalah mencintai orang-orang miskin" (HR Ad Daruqutni dan Ibnu Hiban).


Semoga ramadhan yang telah dipenghujung, semoga syawal yang bakal menjelma, memberi pengertian yang bermakna dalam kehidupan kita. Dikesempatan ini, saya menyusun sepuluh jari, memohon jutaan kemaafan di atas keterlanjuran kata, keterlampauan tindakan, ketersinggungan rasa sepanjang perhubungan bersama. Semoga Allah memberi kekuatan dan menggerakkan hati, akal dan tubuh kepada diri saya untuk memperbaiki segala kekhilafan yang telah dilakukan selama ini.


Wallahualam

FaizalZainol

July 31, 2009

ORANG GILA YANG CERDIK

"Aku orang gila, kau orang cerdik"
"Aku makan sampah, kau makan makanan enak"
"Orang gila tak solat tak berdosa, orang cerdik tak solat masuk neraka"
"Orang gila masuk syurga tanpa hisab, orang cerdik kena hisab"

Semalam aku mendapat 'kuliah' percuma dari orang gila. YA-ORANG GILA!!!Ini bukan cerita rekaan tapi aku benar-benar bertemu orang gila yang cerdik.

Walaupun gila tapi setiap butir perkataan yang dituturkan adalah hikmah. Aku terkesima. Mana mungkin orang gila boleh sebijak ini. Sedangkan aku yang kononnya cerdik tak pernah sedar akan hakikat setiap apa yang diucapkan.

Ahh..Nasihat orang gila mana mungkin boleh dipercaya. Entah mana sumber rujukan, entah mana kitab panduan yang dia guna. Mungkin orang ni dulunya gila dunia, bila dah gila betul baru nak ingat akhirat. Orang cerdik macam aku tak layak terima nasihat orang gila.

"Kamu orang cerdik yang malas. Malas melambatkan proses untuk berjaya".."Kamu terpesona dengan dunia tapi dunia tarafnya hanyalah seperti sampah, sampah yang menjadi makanan rutin aku"

Betul. Malas melambatkan proses berjaya. Aku leka dengan dunia sehingga meninggalkan suruhan solat, arahan menutup aurat aku ingkar, dengan merokok aku rasa tenang. Tapi... Tapi nasihat ini datang dari orang gila. YA-ORANG GILA!!!.. "Berubahlah wahai orang cerdik. Tak malu ke kamu pada orang gila seperti aku."

Apa pendapat kalian, boleh atau tidak aku terima nasihat orang gila ini?

Oleh : Firdaus Ismail

March 3, 2009

Kau Umpama Epal


“Mengantuknya!” jam di meja telah menunjukkan angka satu pagi. “Banyak lagi tugasan yang nak kena buat ni. Esok kena tunjuk pada penyelia PSM” rungut hati kecilku. Tidak dapat dinafikan. Waktu-waktu beginilah yang sering menjadi waktu ‘favourite’ bagi mahasiswa untuk ‘run’ sel neuron otak ataupun ‘defragment’ semula fail-fail yang telah di’save’ pada sesi siang hari. Adakalanya di waktu begini juga kerap mahasiswa menterpaksakan diri untuk melakukan tindakan ‘search’ ilmu yang telah di’save’ untuk di’paste’kan ke atas sekeping kertas putih.


“Ayat apa ni? Arghhh! Peningnya”. Sukar sebenarnya untuk memahami ayat kejuruteraan. Perlukan pemahaman yang jelas, ilmu yang luas, kajian yang ada ‘class’. Tatkala situasi ‘tidak faham’ bertembung dengan ‘mengantuk’, pastinya minda memerlukan sesuatu yang mampu memanaskan semula urat saraf pemikiran ini. Mata berkeliaran di atas meja. Ha! Rubik!... Yes! Tangan terus mencapai benda berwarna-warni itu.


Tapi, Isyh! Tak boleh. Nanti ada individu hentam dalam YahooGroup pulak. Rubik kembali ke ‘pangkal jalan’. “Nak minum Kopi Radik pun, dah lama terputus bekalan. Lainlah kalau PJI Tech nak bagi free”. Senyum sendirian. Minda ini bagaikan inginkan sentuhan aroma kopi sahaja waktu ini. Waktu begini semua kedai sudah tutup. Syiling dicatur dan langkah diatur. Menuruni anak tangga dengan penuh suasana romantis. Tujuan utama adalah mesin air. Setibanya di hadapan mesin air tersebut, kepingan-kepingan syiling itu di’tabung’kan, butang ‘Ali Cafe’ di tekan. Secawan ‘Ali Cafe’ berada di genggaman. Memilih untuk dihabiskan di kawasan kafeteria sahaja. Malas pula nak dibawa naik ke bilik. Memilih tempat duduk di sudut yang paling selesa. Air diteguk sambil minda mencari ilham yang mungkin bisa dijumpai secara ‘Adhoc’. “Mai Secawan!”. Bergurau sendirian. “Kalau ada kawan waktu ini, bolehlah juga diajak bersembang. Waktu macam ni, manalah ada sesiapa. Bergurau dengan diri sendiri saja lah”. Getus hati ini.


“Assalammu’alaikum, Bang”. Huh! Terkejut aku.

“Wa’alaikummussalam. Oh! Hang rupanya! Tak tidoq lagi ka?” soalku untuk memulakan Sembang Pagi.

“Kalau saya dah tidur, tak lah saya ke sini” Ujarnya sambil tersenyum.

Firdaus Nazri, sahabat prospek yang ku kenali di kolej kediaman.

“Lama lagi tak duduk kat sini?” soalnya.

“Sampai abis minum kopi. Pasai apa?”.

“Tunggu sini jap, saya nak beli air jugak” langkah yang sama diambil olehnya. Sebentar kemudian dia kembali duduk di hadapanku. Agak lama bersembang. Akhirnya dia memulakan satu persoalan.


“Bang, saya nak tanya satu soalan. Seandainya abang mengembara ke tempat yang jauh, abang tak makan dan minum selama satu hari. Tiba-tiba abang nampak satu pokok epal. Pokok tu penuh buah epal. Takde pemilik. Abang nak pilih buah epal yang ada di bahagian mana?” soalnya.

Mindaku mencari-cari jawapan. Teka-tekikah ini? Aku jawab secara logistik. “Kebiasaannya kita akan pilih yang paling bawah.” Aku mengharapkan itulah jawapan yang tepat. “Kenapa yang paling bawah?” Soalnya semula. “Senang dapat” Pintasku dengan penuh keyakinan.


“Sebenarnya, wanita ibarat buah epal. Lelaki pula ibarat pengembara. Dan kebiasaannya juga kita akan ambil sesuatu yang paling mudah untuk kita dapat sedangkan buah epal yang paling atas adalah yang paling berkualiti”. Pergh!!! Analogi lagi!


“Takkan kita nak ambil yang senang dapat kan? Pengembara datang lalu lalang sentuh buah epal kemudian pergi. Jadi, buah epal yang berada di paling bawah kita tak tahu pun berapa ramai pengembara yang dah sentuh. Kita sepatutnya cuba sediakan tangga yang kukuh untuk capai buah epal yang berada paling atas. Sebab buah epal itulah yang paling berkualiti dan menjadi impian semua orang”. Fuh! Siapa naqib dia ni? Nak kena belasah agaknya, buat modul ‘buah epal’ tak bagitahu aku! Kan dah kena tazkirah. Haha... Padan muka aku! Apalah sangat analogi ‘Rubik’ jika nak dibandingkan dengan analogi ‘Buah Epal’.


“Layak ke kita nak capai buah epal yang paling atas? Subuh pun susah nak bangun, macammana nak bina sebuah tangga yang kukuh?” Soalku memancing pendapat. “Itulah pasal. Nasiblah kalau kita dah cuba bina tangga yang kukuh, tiba-tiba ada orang lain datang bawa tangga dia dulu. Tak pasal pasal dia pula yang dapat” Katanya sambil ketawa. Seketika kemudian sahabat prospek ini mohon untuk pulang. Ada kerja yang perlu diselesaikan sebelum menjelang subuh esok katanya. Salam disambut. Bayangannya hilang dari pandangan.


Kini, aku keseorangan menghabiskan sisa-sisa kopi yang masih ada. Fikiranku melayang, aku memilih berdasarkan nafsu? Astaqfirullah... Aku mohon kepada Allah agar dijauhkan dari nafsu yang membelenggu ini. Layakkah aku mendambakan epal yang paling atas sedangkan sewaktu program semester lepas pun ‘pumping’ baru 25 kali dah nak balik? Mengeluh sendirian. Aku perlu berubah. Aku juga perlu mengumpul kekuatan untuk membina sebuah tangga yang kukuh. Dapat miliki epal pada bahagian hampir atas pun sudah memadai meskipun aku tidak dapat memiliki epal yang paling atas. Bukan mudah untuk melukis pelangi di langit yang tertinggi jika tanpa hadir gerimis dan sinar mentari yang mengiringi. Bukan juga mudah untuk memiliki mutiara kasih jika tanpa diselami lubuk hati nurani ke dasar rasa yang paling dalam. Hanya Allah sahaja yang mengizinkan samada untuk mewujudkan pelangi ataupun menghadirkan sebutir mutiara kasih untuk kita. Air kopi dah habis. Aku perlu pulang ke bilik untuk meneruskan perjuangan yang masih panjang.


Ingatlah wanita di luar sana. Tinggikanlah darjatmu. Jangan biarkan anda terus menjadi individu yang hanya menjadi sentuhan sang pengembara. Kerana “Kau Umpama Epal”.


“Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.” (An Nuur, 24:26)

February 25, 2009

Rubik Kehidupan



“Esok ada test! Huh!” mungkin saat ini orang lain telah bebas dari belenggu peperiksaan. Tetapi esok baru permulaan bagiku. Sudahlah menumpang kelas orang. Nak buat study group? Orang dalam kelas itu pun aku tidak kenal. Macam mana ni? Ah! Tawakal sajalah! Macammana nak tawakal kalau strategi usaha pun tidak nampak bayang-bayang. “studi je lah apa yang aku tahu!”


Buku dibuka. Pen, pensil, kalkulator, pemadam getah, kertas kosong sengaja diselerakkan di atas meja untuk menampakkan mood study. Dengan harapan buku-buku itu dapat dikhatam dalam masa satu hari. Saat jari-jemari ini lincah menari-nari melakarkan aksara nombor di atas kertas, terpandang aku satu objek di atas meja rakan sebilikku. Berwarna-warni. Menarik! Mohon untuk pinjam sebentar. Menghilangkan boring tika ia menjelma. Alah! Biasalah! Mana boleh studi dalam jangka masa yang panjang. Ada masanya perlu berehat sebentar untuk menghadirkan semula ‘fokus study’. Rehat sebentar? Namun, kebiasaanya masa rehat itu lebih lama dari masa studi. Mungkin perkataan fokus telah jauh tersasar dari objektif asal. Tersasar lagi. Jam menunjukkan lebih tujuh minit dari pukul 12 dinihari.


Jari-jemari mula beralih arah menari-nari ke objek yang dinamakan rubik itu. Objek yang mempunyai enam warna berlainan. Merah, biru, jingga, hijau, putih dan kuning. Perlu bermatlamatkan untuk samakan warna-warna tersebut pada satu permukaan. Macammana strateginya? Cuba dulu baru tahu. Jam telahpun beranjak ke satu pagi. Satu permukaan pun belum ‘settle’ lagi. Apatah lagi satu mukasurat buku yang terdampar di atas meja itu sejak tadi. Beralasan, mood belum sampai.


Sekian lama menganalisis dan mencari maklumat mengenai rubik tersebut, barulah aku mengetahui untuk samakan warnanya pada satu permukaan perlukan strategi. Samalah juga dengan kehidupan kita. Setiap masalah ada jalan penyelesaian. Bagaimana? 5S...



1. Selidik Diri Kita [Selesaikan permukaan paling bawah]











Siapa kita? Kaji kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri. Aku pelajar lanjutan. Tidak kenal sepenuhnya rakan sekelas. Keesokkan malam ada ujian. Kelebihan? aku bukannya gagal subjek ini semester lalu, aku cuma baiki kredit untuk dapatkan gred yang lebih bagus semester ini. Bermakna aku telah faham, aku perlu berusaha!



2. Susunatur Kelebihan Diri [Lengkapkan warna pada level paling bawah]












Kelebihan lain, aku boleh sesuaikan diri dengan sesiapa saja yang berada di sekeliling aku. Perlukan kemesraan yang lebih untuk mendampingi rakan sekelas di saat ini. Aku juga dah faham subjek ini, Cuma perlu diperkukuhkan lagi. Teruskan!



3. Serasikan Dengan Persekitaran [Samakan warna level kedua dengan level satu]











Perhatikan di sekeliling! Pasti ada rakan kelas yang ulangkaji di perpustakaan. Aplikasikan kelebihan yang ada. Tekadkan niat untuk melangkah ke perpustakaan. Jelajah ke seluruh perpustakaan untuk menjejak individu yang dicari. Sah! Suspek dikenalpasti. Teruskan langkah menuju ke arah mereka. Gunakan kemesraan di tempat yang sesuai. Studi bersama mereka. Settle!



4. Serah Pada Pencipta [Selesaikan permukaan paling atas]











Kita merancang, Allah juga merancang. Dan Dialah sebaik-baik Perancang. Usaha dah dilakukan. Serahkan saja padaNya mudah-mudahan rancangan kita sama dengan rancangan Allah. Ujian bermula jam 8.30 malam. Solat maghrib berjemaah di masjid. Mohonlah pada Allah agar dipermudahkan urusan kita. Berdoa!



5. Sempurnakan Matlamat [Lengkapkan warna pada level paling atas]












Dengan nama Allah. Masuk ke dewan peperiksaan dengan langkah kanan. Ambil tempat duduk yang paling selesa. Berdoa. Jawab dengan tenang. Semak jawapan jika ada kesilapan. Lengkapkan soalan yang belum terjawab. Tak tahu jawaban? Jawab je... jangan biarkan kosong.



Fuh! Selesai juga menjawab ujian. Mujurlah ada rakan-rakan untuk ulangkaji bersama. Mujur jugalah latihan yang dilakukan itu semuanya masuk dalam ujian. Allah telah mempermudahkan urusanku. Alhamdulillah... Syukurku padaMu ya Allah. “Eh! Dah masuk waktu Isyak lah!”


“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai daripada sesuatu amal soleh, maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha mengerjakan amal soleh yang lain. Kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)” [94:5-8]

October 14, 2008

Dunia Penerbitanku
Oleh : Nurul Helme Bin Zulkipli

“Wah, Hebatnya dia ni!”

Inilah ayat-ayat yang dapat kita dengar dari mulut seseorang apabila melihat sesuatu kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Begitu juga kita yang terlalu kagum dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Mengapa kita sering memandang kelebihan orang lain sebagai ukuran kepada kekurangan kita? Mengapa kita tidak terfikir “Oh! Dia ni ada kelebihan dalam bidang ini. Aku pula ada kelebihan dalam bidang lain”. Sesungguhnya Allah menciptakan seseorang itu dengan kekurangan disertakan dengan kelebihan.


“Aku bukan macam kau, kau hebat. Siapalah aku ni nak ada kelebihan macam kau”. Sahabat sekalian, merendah diri itu perlu tetapi jangan sampai menghina diri. Islam tidak mengajar kita untuk menghina diri di hadapan makhluk ciptaanNya yang lain. Kita harus berbangga dengan kelebihan yang kita miliki. Dan kita perlu ingat, ilmu yang diberikan ini bukan milik kita seorang. Kita juga perlu ingat, ilmu yang dikurniakan Allah kepada kita perlu disebarkan kepada orang lain.


Ada yang mahir dalam bidang perniagaan, ada yang mahir dalam bidang kepimpinan, tidak kurang juga yang mahir dalam bidang sukan. Semuanya Allah berikan untuk disebarkan kepada orang lain. Manusia dicipta untuk saling lengkap-melengkapi.


Bagi yang sedar akan kelebihan yang dimilikinya, boleh untuk berbangga. Tetapi jangan sampai kebanggaan itu bertukar menjadi riak, ujub, takbur sehingga sanggup memperlekehkan orang lain atau merendahkan sumbangan orang lain. Cukuplah sekadar perasaan bangga itu menjadi inspirasi untuk diri kita menjadi lebih bersemangat dalam kerja-kerja yang lain. Jika kita rasa diri kita banyak kekurangan, ada insan lain yang lebih kekurangan dari kita. Jika kita rasakan kita banyak kelebihan, ada lagi insan yang lebih banyak kelebihannya berbanding kita.


Sekiranya nama dan kemasyuran yang kita kejar, nescaya kita akan menemui kekecewaan. Sekiranya kita lakukannya dengan niat kerana Allah, kita akan berbangga dengan apa yang dilakukan.


Ada di kalangan kita sedar akan kelebihan yang dimiliki, tetapi kita telah terlupa bagaimana langkah pertama kita sehingga kita mampu menjadi seperti sekarang. Apakah faktor yang menjadikan kita dipandang mempunyai kelebihan seperti kini? Ingatkah lagi di mana garisan permulaan kita sehingga apa sahaja gerakkerja yang berkaitan dengan kelebihan kita, terus orang lain menuju ke arah kita? Semuanya di dalam rencana Allah yang maha Kuasa dan maha Bijaksana.


Penulis ini pun hanyalah manusia biasa. Tatkala diri ini diberi amanah memegang portfolio Lajnah Penerbitan, Informasi & Multimedia dalam Kelab Iqra’ UTHM sesi 07/08, pernah juga saya rasa bangga dengan kelebihan yang dimiliki ini sekaligus menyatakan tiada orang lain yang mampu menandingi diri ini. Kekecewaan hadir dalam hati ini apabila poster yang dihasilkan saban malam dan ianya megah terpampang di sekitar kampus akhirnya dicabut dan ditempatkan di tong sampah apabila selesainya suatu program. Lantas diri ini berfikir, dan menetapkan niat “aku buat semua ni kerana Allah”.


Anggaplah kerja yang kita buat ini sebagai salah satu cabang dakwah, salah satu cabang Amal Makruf Nahi Mungkar. Usahlah kita berkecil hati jika melihat poster kita di dalam tong sampah, tetapi berbanggalah kerana mungkin dengan niat kita yang ikhlas ini telah diganjarkan Allah dengan sesuatu yang lebih berharga dari sebuah kebanggaan. Semuanya hanya Allah yang tahu.



December 28, 2007

SURAU: SATU REVOLUSI YANG MENOLEH

Mungkin ada pengertian yang lebih jauh dan subjektif yang boleh diberikan kepada surau daripada wadah penghambaan diri umat islam kepada Allah S.W.T semata-mata. Seperti juga masjid, surau juga sering digambarkan dengan aktiviti-aktiviti pemujaan yang pasif dan pemborosan emosi golongan eskapis dan reaksionis. Akhirnya surau diperlukan apabila monumen-monumen yang menghimpunkan mitos dan misteri. Juga ia jauh sekali menuntut sebarang sikap yang wajar daripada kita semua.

Sesungguhnya surau bukanlah rumah ibadat semata-mata, juga bukanlah terowong yang menyedut harapan-harapan utopia dan fantastik. Justeru surau seperti juga masjid, merupakan jantung Islam yang mengepam segala bentuk agenda Islamiah ke seluruh masyarakat Islam. Selain itu, surau adalah pusat rawatan bagi segala penyakit sosial yang kian hebat menyerang manusia hari ini. Jadi, daripada istilah surau yang hakikidan maknawi ini, dapatlah dkatakan bahawa rumah ibadat ini adalah simbol kekuatan umat Islam dalam satu horizon ruang dan waktu. Jikalau sesebuah surau itu makmur dalam ertikata mampu menghidupkan jemaah sembahyang fardu yang lima waktu itu, maka bolehlah ditebak bahawa masyarakat muslim yang mendiami horizon itu kuat de facto dari segi ubudiyyah kepada yang Maha Esa dan jalinan ukhwah Islamiah sesama muslim yang utuh.

Jadi, untuk memperkasakan surau pada tahap di atas, ia menuntut tanggungjawab yang bukan kepalang daripada kita. Tanggungjawab yang dituntut tidaklah terbatas kepada bentuk-bentuk tertentu, sebaliknya ia bergantung individu-individu dalam masyarakat yang didiami. Dan tanggungjawab itu bukanlah disandarkan kepada jawatan-jawatan yang tersedia dalam sesebuah organisasi sahaja. Ia seharusnya difahami sebagai komitmen umat dalam mengimarahkan masjid mahupun surau tersebut. Ini boleh dilakukan denga menghadirka diri untuk sembahyang fardu secara berjemaah. Sepertimana yang sedia maklum, solat fardu berjemaah di tempat azan diazankanmempunyai fadhilat dan hikmah yang banyak banyak sekali. Ianya melebihi solat persendirian sebanyak 27 kali ganda sebagai pencorak perwatakan muslim yang benar-benar unggul dala menghadapi ranjau di sepanjang jalan kehidupan.

Solat berjemaah merupakan simbol kepada sebarang bentuk persatuan di mayapada ini. Daripada imam kepada makmum, dapat diperhatikan bagaimana sebuah persatuan ideal bkerja dibawah lapisan strata yang sama. Apabila sang imam melakukan suatu rukun, maka sang makmum treus mengikuti perbuatan tersebut tanpa banyak soal. Di sana, wujud pertautan hati yang akhirnya jalinan-jalinan itu membentuk satu buhulan yang mustahil dipecahkan oleh kekuatan murahan makhluk-makhluk Allah S.W.T.

Solat berjemaah adalah roh kepada jasad Islam itu sendiri. Jadi kecemerlangan dalam bidang ini sekaligus mengimbaskan kegemilangan agama Islam. Dan alamat ini dapatlah dilihat pada rumah-rumah ibadat seperti masjid ataupun surau.

Namun, hujah-hujah diatas menjadi dogengan yang muluk-muluk dan retorika semata-mata apabila ianya dihamparkan pada realiti zaman moden yang ditandai dengan materialistik ini. Keghairahan dan keriuhan manusia dalam pesta gila mengejar keseronokan dan kepuasan inderawi selahapnya telah memapas gunung kepercayaan terhadap perkara-perkara yang bersifat metafizik dan transcendental khususnya agama. Agama bukan saja telah dipandang sepi, malah ianya ditenung dengan penuh perasaan curiga dan prasangka. Kenyataannya dapatlah dilihat pada hari ini iaitu agama dianggap penghambat kemajuan, kukubesi yang menindas pluralisme, dan paradoksialnya dianggap penyeru keganasan. Akhirnya simbol-simbol terutamanya masjid mahupun surau terus dianggap begitu statik dan hanya menunggu detik-detik kehancuran yang dibawa dewa-dewa maut yang digelar materialisme.

Jika diperpanjangkan akibat yang bakal dihadapi oleh manusia khususnya umat Islam, semestinya memahat masa dan ruang yang tidak sedikit. Juga artikulasi ini tinggal menjadi pemborosan semata-mata apabila tidak dikuntitkan dengan penyelesaian etika iaitu bagaimana sikap yang wajar disediakan wabak ini.

Sikap yang dituntut bukanlahdari individu-individu tertentu, sebaliknya kepada seluruh umat Islam. Dalam konteks mahasiswa seperti kita, apakah bentuk sumbangan yang diharapkan? Kalau tenaga yang ditagih, bagaimanakah bentuknya? Jika wang yang dipinta, berapakah jumlahnya? Andai masa yang didamda, berapakah tempohnya? Jawabnya, tentulah bukan itu ynag dituntut. Apa yang dituntut sebenarnya keseluruhan yang diatas! Ianya amat ringan kerana tanggungjawab ini ditebarkan kepada kaum muslimin yang kolektif.

Ini bermakna, setiap individu mempunyai tugas yang perlu dilangsaikan. Dan penyelesaian yang paling tipikal dan dituntut adalah menghadiri solat jemaah kerana ianya permulaan kepada segala bentuk revolusi. Revolusi yang dimaksudkan bukanlah evolusi mengubah sesuatu kepada bentuk yang baru, juga bukan revolusi yang menumpahkan darah; namun ia adalah perubahan dari sutu keadaan kepada keadaan yang lebih baik. Ini merupakan jihad ataupun hijrah. Revolusi ini ialah revolsi yang ingin mengambalikan umat islam kepada ajaran Islam, dan revolusi yang mengembaliakn Islam ke tingkatnya yang asli. Jadi, ia bukanlah revolusi yang meliberalkan Islam, sebaliknya ialah revolusi yang menoleh kearah keagungan Islam yang lampau ke dalam zaman sendiri.

Disini, penulis menyeru supaya kita semua dapat menyertai revolusi dengan menghadiri fardu solat-solat berjemaah di masjid ataupun di surau. Walhasil daripadanya bukan sahaja kepada islam auru surau atau masjid sahaja, malah ia turut memberi kesan kepada pelaksananya. Dengan kata lain, kemajuan dari revolusi ini bukanlah kepada subjeknya sahaja, malah objeknya turut merasakan faedah daripadanya iaitu mendapat keredhaan Allah S.W.T di dunia dan di akhirat. Insya Allah.

Oleh : Mohd Faizal b. Che Mohd Husin