October 17, 2009

FLASHBACK : KEMBARA MICROPHONE?

Sehari sebelum ramadhan tahun ini, saya dan firdaus telah ditugaskan untuk menguruskan urusan teknikal SP, ini berikutan surau perlu dipindahkan ke Dewan Aktiviti bagi menampung jemaah yang ramai dalam bulan ramadhan. Projek ini kami namakan Kembara Microphone, ini berikutan misi kami untuk mendapatkan sebuah microphone untuk Dewan Aktiviti khas untuk penggunaan imam dan yang mampu disesuaikan dengan sistem PA di dewan tersebut.

Projek ini bermula jam 5 petang selepas solat asar. Sebagai permulaan kami menjelajah pelbagai kedai elektrik di Parit Raja. Setelah hampir setengah jam melilau mencari. Akhirnya kami temui dua kedai yang menjual microphone. Kedai pertama menjual dengan harga kira2 RM70 termasuk pengubahsuaian. Manakala kedai kedua menjual kira2 RM40 tidak termasuk pengubahsuaian. Setelah berdiskusi berdua, saya dan firdaus membuat keputusan untuk membeli di kedai kedua iaitu kedai Amatuer Electronic dengan harga diskaun seperti di atas.



Setelah membeli microphone yang kami inginkan, kami pun mulakan fasa kedua, iaitu mendapatkan maklumat untuk proses pengubahsuaian microphone supaya ia boleh dimasukkan ke sistem PA di dewan aktiviti. .



Setelah mendapat pandangan daripada Uncle Chong daripada kedai Amatuer Electric yang mencadangkan kedai yang sesuai untuk pengubahsuaian. Projek seterusnya ialah terus berkunjung ke Kedai Yong Kiet Siang bagi merealisasikan proses pengubahsuaian microphone. Kedai tersebut memang agak kurang popular di Parit Raja berikutan namanya yang tidak menggambarkan fungsi dan prospek syarikat.



Sebaik sahaja kami masuk, kami disambut dengan penuh ceria oleh Uncle Yong dan isterinya Auntie Yong, mereka sebenarnya mahu menutup kedai. Tetapi setelah melihat kami berdua, mereka terus menangguhkan hajat mereka. Lalu melayani permintaan kami yang tidak seberapa ini. Kami serahkan kepada Uncle Yong, microphone, cable dan beberapa alatan sambungan. Uncle Yong dengan penuh teliti lantas dan pantas membuat kerjanya tanpa rasa ragu dan tanpa rasa gundah.



Setelah lama melalui proses penyambungan tersebut. Uncle pun dengan rasa senang menyerahkan kepada kami microphone yang telah siap. Firdaus pun bertanya "Berapa harga Uncle?", Uncle membalas, "RM2", Firdaus pun menoleh pada saya lalu berkata, "murah sangat ini, so nak bayar berape?". Saya memintas, "Firdaus, bagi je la berape2 pun, lebih pun xpe". Firdaus pun menghulurkan RM5 dan berkata, "...baki uncle simpan ye..". Mungkin dalam hati uncle menyebut, alhamdulillah jazakallah...



Inilah microphone yang telah siap diubahsuai dan telah berjasa selama sebulan dalam melayari Ramadhan bertempat di Dewan Aktiviti. Semoga ia akan terus diizinkan Allah untuk berfungsi dan menyambungkan baktinya pada Ramadhan akan datang dan yang seterusnya.

Terima kasih kepada saudara Firdaus kerana sudi mendermakan wang untuk surau bagi membeli microphone tersebut. Derma tersebut amatlah bermakna bagi SP. Semoga Allah akan membalasnya. Semoga budaya sedekah-mensedekahi ini terus menjadi amalan sesama kita demi mendapat keredhaan Allah. Teringat saya pada satu ayat yang berkaitan sedekah yang sangat menyentuh hati.

Sedekahlah dengan barang yang disenangi penerima. Allah melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah. Firman Allah yang maksudnya : “Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu, kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungghnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Ali-Imran:92)

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Ali-Imran:92)

p/s maaf susunan nukilan yang agak bersahaja

Oleh : Mohamed Faizal Zainol