October 28, 2008

Imarahkan Surau Bendung Jenayah

Berita yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 3 April 2007 yang lalu. Berita bertajuk “Masjid diceroboh, al-Quran dibakar” dilaporkan berlaku di Masjid Jamek Al-Insaniah Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Seperti yang dilaporkan, dalam kejadian itu tabung-tabung Masjid didapati bersepah, cermin pintu Masjid pecah dibaling batu, 7 helai ayat surah Al-Baqarah juga telah dibakar dan Masjid ini juga hampir-hampir terbakar kerana didapati beberapa bahagian bidai tingkap, permaidani sertai wayar elektrik didapati musnah kerana perbuatan khianat. Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertamadun.

Tindakan ini adalah satu jenayah yang perlu disiasat oleh pihak Polis bagi mengelakkan salah faham atau tuduh menuduh kerana ianya melibatkan pembakaran al-Quran. Ada yang mengatakan bahawa itu adalah tindakan pencuri yang marah kerana mendapati tabung-tabung Masjid telah dikosongkan lebih awal bagi mengelakkan dicuri sekali lagi.

Ada juga pihak beranggapan bahawa tindakan ini adalah satu provokasi dari pihak-pihak yang bencikan Islam kerana kejadian membakar al-Quran dilihat begitu serius seperti satu amaran kepada umat Islam.

Jawatankuasa Masjid-masjid diseluruh negara mesti mengambil pengajaran di sebalik kejadian ini. Masjid-masjid dan surau-surau perlulah diimarahkan secara lebih aktif lagi. Kita sedia maklum bahawa Masjid adalah “Rumah Allah” dan kita harus menjaganya secara bersama.

Tindakan mengunci pintu Masjid dan Surau selepas Solat Isyak tidak menjamin keselamatan premis ini sepenuhnya. Pihak Jawatankuasa perlu kreatif untuk memastikan Masjid dan Surau mereka ini dapat melakukan program-program lain selain dari bersolat sahaja.

Di zaman Rasulullah, Masjid dijadikan tempat sahabat-sahabat berkumpul, melakukan interaksi, beribadat, menimba ilmu, bermesyuarat dan merancang urusan negara.

Oleh itu, fungsi Masjid pada hari ini telah lari dari amalan kebiasaan Rasulullah. Kita lebih suka menjadikan Masjid sebagai tempat untuk bersolat 5 waktu sahaja dan lebih malang lagi, ada kalangan umat Islam yang tidak bertanggungjawab menjadikan Masjid sebagai tempat singgahan bagi membuang hajat kerana tidak dikenakan sebarang bayaran.

Fungsi Masjid ini perlu diperkemaskan lagi dengan menjadikannya pusat pendidikan masyarakat melalui kuliah dan pengajian al-quran yang boleh dibuat selepas waktu Isyak. Tuisyen-tuisyen juga boleh dibuat di Masjid bagi anak-anak kariah. Selain itu, program Qiamullail boleh dilakukan secara kerap bagi memastikan Masjid dapat dihidupkan pada waktu Malam.

Program-program tradisi seperti bacaan surah Yaasin pada malam Jumaat baik diteruskan dan pada malam-malam lain kariah juga boleh mengadakan kuliah maghrib atau program bacaan surah-surah al-Quran yang lain. Program tadarus dan kelas al-Quran juga wajar diadakan setiap hari bagi menghidupkan Masjid yang ada.

Semoga umat Islam hari sedar betapa besar peranan yang perlu kita main bagi menjaga agama dan amanah yang diberi. Masjid yang besar dan gah tidak akan diberkati oleh Allah kiranya kita tidak menghidupkannya dengan amalan-amalan yang banyak dan bermanfaat. Dan satu pembaziran jika Masjid-masjid yang ada tidak digunakan sepenuhnya.