December 3, 2007

HIDUP MANUSIA : VISI & MISI

Insan atau manusia merupakan antara salah satu daripada sekian banyaknya ciptaan Allah yang Maha Esa. Allah sebagai Al-Khaliq (pencipta) yang dengan ihsan dan kasih-sayangNya telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian dan sebagai tambahan Allah telah memberikan satu tugas khas hanya kepada manusia iaitu sebagai Khalifah Allah di atas muka bumi. Manusia pula sebagai khalifah dan dalam masa yang sama sebagai hamba Allah mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar untuk dipikul. Bukan sekadar mainan atau gurauan, jika sekiranya manusia memahami erti kata yang sebenar apakah tugas khalifah dan hamba sudah pasi manusia akan taat sepenuhnya perintah dan larangan Allah SWT.

Hidup satu perjalanan yang panjang. Dari alam roh kita berpindah ke alam rahim. Seterusnya ke alam dunia yang sedang kita hadapi dan akhir nanti tanpa dapat kita elakkan kita akan menempuhi alam kubur di mana kita akan ditemukan dengan Malaikat Munkar dan Nakir yang bertanyakan lima soalan dan destinasi akhir pastinya alam akhirat di mana pembalasan terhadap setiap perbuatan akan berlaku. Inilah sebenarnya matlamat hidup yang harus kita tuju dan ambil perhatian dari sekarang.

Alam roh dan alam rahim sudah kita tempuhi. Kita tidak mempunyai pengetahuan sedikit pun tentangnya kerana ia merupakan satu rahsia Allah yang sangat unik. Alam yang sedang kita tempuhi inilah yang mahu dibincangkan kerana alam ini akan menentukan nasib kita di destinasi terkahir nanti. Dunia tempat menyemai akhirat tempat menuai. Apa yang disemai akan diterima hasilnya di akhirat kelak. Jika semaian adalah Gred A maka Insyaallah tuaian juga adalah Gred A dan sebaliknya.

Manusia sepatutnya bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan akal fikiran. Dengan akal sepatutnya manusia mampu melihat, merenung, berfikir, bermuhasabah dan mengagumi keagungan yang Maha Esa. Tetapi yang berlaku pada zaman kini adalah sebaliknya. Di manakah letaknya akal yang dikurniakan Allah? Maksiat berlaku di mana-mana. Azan dilayan sebagai gangguan dan setaraf salakan anjing, solat umpama beban yang berat, pakaian lelaki dan perempuan kembali seperti zaman purba yang kekurangan kain, pemakaian tudung dianggap fesyen serta hanya dipakai pada majlis-majlis tertentu dan seribu satu macam gejala tidak bermoral yang membawa seribu satu masalah kepada masyarakat dan negara. Tidak ada cara lain untuk mengatasi masalah ini melainkan kembali kepada cara yag diajar oleh Islam. Jangan ragu-ragu lagi.

Jagalah solat kerana ia merupakan tiang agama dan perkara yang mula-mula dihitung di akhirat kelak. Jagalah masa kerana ia umpama pedang, jika kita tidak memotongnya maka ia akan memotong kita. Jagalah agama kerana hanya dengannya kita ada harapan dan peluang untuk merasa nikmat syurga. Jagalah hati kerana ia merupakan anggota yang mengawal seluruh pergerakan hidup sehari-hari. Jagalah maruah, peribadi dan akhlak kerana ia buah kepada keamanan dalam masyarakat. Jagalah nafsu kerana nafsu menyebabkan iman kita lemah.

Oleh : Mohd Firdaus b. Ismail