October 26, 2007

SURAU : SATU PENJENAMAAN SEMULA

Bila bicara berkenaan kejuruteraan pasti kita tak bisa memisahkan antaranya dengan penyelidikan dan pembangunan. Hasil penyelidikan dan pembangunan maka terhasillah rekabentuk terbaru. Lantas pabila konsep ini dikaitkan dengan realiti surau pada masakini, maka wujudnya satu keperluan untuk menjenamasemulakan surau berpaksikan konsep penyelidikan dan pembangunan agar memenuhi kehendak mahasiswa yang lazimnya menginginkan kelainan dalam penterjemahan aktiviti-aktiviti surau tanpa membatasi prinsip-prinsip Islam.

Imej surau lazimnya dikaitkan hanya melibatkan aktiviti spiritual semata-mata haruslah dinafikan dengan penjenamaansemula ini, sesuai dengan peredaran dan kehendak semasa. Selaras dengan itu, pengurusan surau dengan penuh rasa insaf telah merangka 5 asas penjenamaansemula surau bagi memastikan mesej penjenamaan semula itu dapat diterjemahkan dalam lisan dan tindakan dengan jelas. Antara lima asas tersebut ialah penstrukturan semula organisasi dengan mewujudkan jawatan-jawatan yang lebih spesifik, mewujudkan pelan strategik surau untuk dijadikan agenda utama organisasi, menampilkan muka-muka baru dalam organisasi yang mewakili pelbagai latar belakang, membahagikan tanggungjawab berdasarkan kesesuaian individu agar bisa menterjemahkan hasil kerja terbaik dan memperkenalkan disamping memperkasakan semula aktiviti-aktiviti surau secara lebih sistematik.

Banyak aktiviti kemahasiswaan sewajarnya menjadikan surau sebagai pusatnya. Sebagai contoh diskusi akademik, diskusi ilmiah, aktiviti keusahawanan, permainan yang bersesuaian, kempen-kempen dan sebagainya boleh memanfaatkan surau selagi tidak bercanggah dengan syarak. Insya Allah berdasarkan 5 asas tersebut pengurusan surau menyeru seluruh mahasiswa atau pengurusan organisasi yang lain dapat membantu dan bersama-sama surau dalam menjayakan misi ini dengan secara bersama mengajurkan aktiviti-aktiviti yang memusatkan surau sebagai pusat utama.

Pendekatan mesra mahasiswa juga akan cuba diterapkan dengan menonjolkan imej surau untuk semua selaras dengan tema surau. Pengurusan akan terus menerima teguran, kritikan dan pandangan daripada semua pihak disamping mengalu-alukan kerjasama dan bantuan idea, tenaga juga kewangan dalam menterjemahkan segala gagasan suci ini semata-mata kerana Allah.

Segala abstraksi dan teori ini hanya akan terus kekal sebagai konsep semata-mata tanpa pasukan perlaksanaan yang mantap disamping tanpa mendapat dokongan dan sokongan daripada mahasiswa-mahasiswa, individu-individu dan organisasi-organisasi berkaitan dan juga pengurusan universiti. Oleh yang demikian saya menyeru pada semua agar kita sama-sama berganding bahu dalam menjayakan misi dan visi surau tanpa mengharapkan pujian, penghargaan dan balasan melainkan keredhaan Allah s.w.t.

Oleh : Mohamed Faizal b. Zainol