February 25, 2010

SURAU : SATU REVOLUSI YANG MENOLEH

Oleh : Mohd Faizal b. Che Mohd Husin (Pengerusi Surau Perdana UTHM)


Mungkin ada pengertian yang lebih jauh dan subjektif yang boleh diberikan kepada surau daripada wadah penghambaan diri umat islam kepada Allah S.W.T semata-mata. Seperti juga masjid, surau juga sering digambarkan dengan aktiviti-aktiviti pemujaan yang pasif dan pemborosan emosi golongan eskapis dan reaksionis. Akhirnya surau diperlukan apabila monumen-monumen yang menghimpunkan mitos dan misteri. Juga ia jauh sekali menuntut sebarang sikap yang wajar daripada kita semua.

Sesungguhnya surau bukanlah rumah ibadat semata-mata, juga bukanlah terowong yang menyedut harapan-harapan utopia dan fantastik. Justeru surau seperti juga masjid, merupakan jantung Islam yang mengepam segala bentuk agenda Islamiah ke seluruh masyarakat Islam. Selain itu, surau adalah pusat rawatan bagi segala penyakit sosial yang kian hebat menyerang manusia hari ini. Jadi, daripada istilah surau yang hakikidan maknawi ini, dapatlah dkatakan bahawa rumah ibadat ini adalah simbol kekuatan umat Islam dalam satu horizon ruang dan waktu. Jikalau sesebuah surau itu makmur dalam ertikata mampu menghidupkan jemaah sembahyang fardu yang lima waktu itu, maka bolehlah ditebak bahawa masyarakat muslim yang mendiami horizon itu kuat de facto dari segi ubudiyyah kepada yang Maha Esa dan jalinan ukhwah Islamiah sesama muslim yang utuh.

Jadi, untuk memperkasakan surau pada tahap di atas, ia menuntut tanggungjawab yang bukan kepalang daripada kita. Tanggungjawab yang dituntut tidaklah terbatas kepada bentuk-bentuk tertentu, sebaliknya ia bergantung individu-individu dalam masyarakat yang didiami. Dan tanggungjawab itu bukanlah disandarkan kepada jawatan-jawatan yang tersedia dalam sesebuah organisasi sahaja. Ia seharusnya difahami sebagai komitmen umat dalam mengimarahkan masjid mahupun surau tersebut. Ini boleh dilakukan denga menghadirka diri untuk sembahyang fardu secara berjemaah. Sepertimana yang sedia maklum, solat fardu berjemaah di tempat azan diazankanmempunyai fadhilat dan hikmah yang banyak banyak sekali. Ianya melebihi solat persendirian sebanyak 27 kali ganda sebagai pencorak perwatakan muslim yang benar-benar unggul dala menghadapi ranjau di sepanjang jalan kehidupan.

Solat berjemaah merupakan simbol kepada sebarang bentuk persatuan di mayapada ini. Daripada imam kepada makmum, dapat diperhatikan bagaimana sebuah persatuan ideal bkerja dibawah lapisan strata yang sama. Apabila sang imam melakukan suatu rukun, maka sang makmum treus mengikuti perbuatan tersebut tanpa banyak soal. Di sana, wujud pertautan hati yang akhirnya jalinan-jalinan itu membentuk satu buhulan yang mustahil dipecahkan oleh kekuatan murahan makhluk-makhluk Allah S.W.T.

Solat berjemaah adalah roh kepada jasad Islam itu sendiri. Jadi kecemerlangan dalam bidang ini sekaligus mengimbaskan kegemilangan agama Islam. Dan alamat ini dapatlah dilihat pada rumah-rumah ibadat seperti masjid ataupun surau.

Namun, hujah-hujah diatas menjadi dogengan yang muluk-muluk dan retorika semata-mata apabila ianya dihamparkan pada realiti zaman moden yang ditandai dengan materialistik ini. Keghairahan dan keriuhan manusia dalam pesta gila mengejar keseronokan dan kepuasan inderawi selahapnya telah memapas gunung kepercayaan terhadap perkara-perkara yang bersifat metafizik dan transcendental khususnya agama. Agama bukan saja telah dipandang sepi, malah ianya ditenung dengan penuh perasaan curiga dan prasangka. Kenyataannya dapatlah dilihat pada hari ini iaitu agama dianggap penghambat kemajuan, kukubesi yang menindas pluralisme, dan paradoksialnya dianggap penyeru keganasan. Akhirnya simbol-simbol terutamanya masjid mahupun surau terus dianggap begitu statik dan hanya menunggu detik-detik kehancuran yang dibawa dewa-dewa maut yang digelar materialisme.

Jika diperpanjangkan akibat yang bakal dihadapi oleh manusia khususnya umat Islam, semestinya memahat masa dan ruang yang tidak sedikit. Juga artikulasi ini tinggal menjadi pemborosan semata-mata apabila tidak dikuntitkan dengan penyelesaian etika iaitu bagaimana sikap yang wajar disediakan wabak ini.

Sikap yang dituntut bukanlahdari individu-individu tertentu, sebaliknya kepada seluruh umat Islam. Dalam konteks mahasiswa seperti kita, apakah bentuk sumbangan yang diharapkan? Kalau tenaga yang ditagih, bagaimanakah bentuknya? Jika wang yang dipinta, berapakah jumlahnya? Andai masa yang didamda, berapakah tempohnya? Jawabnya, tentulah bukan itu ynag dituntut. Apa yang dituntut sebenarnya keseluruhan yang diatas! Ianya amat ringan kerana tanggungjawab ini ditebarkan kepada kaum muslimin yang kolektif.

Ini bermakna, setiap individu mempunyai tugas yang perlu dilangsaikan. Dan penyelesaian yang paling tipikal dan dituntut adalah menghadiri solat jemaah kerana ianya permulaan kepada segala bentuk revolusi. Revolusi yang dimaksudkan bukanlah evolusi mengubah sesuatu kepada bentuk yang baru, juga bukan revolusi yang menumpahkan darah; namun ia adalah perubahan dari sutu keadaan kepada keadaan yang lebih baik. Ini merupakan jihad ataupun hijrah. Revolusi ini ialah revolsi yang ingin mengambalikan umat islam kepada ajaran Islam, dan revolusi yang mengembaliakn Islam ke tingkatnya yang asli. Jadi, ia bukanlah revolusi yang meliberalkan Islam, sebaliknya ialah revolusi yang menoleh kearah keagungan Islam yang lampau ke dalam zaman sendiri.

Disini, penulis menyeru supaya kita semua dapat menyertai revolusi dengan menghadiri fardu solat-solat berjemaah di masjid ataupun di surau. Walhasil daripadanya bukan sahaja kepada islam auru surau atau masjid sahaja, malah ia turut memberi kesan kepada pelaksananya. Dengan kata lain, kemajuan dari revolusi ini bukanlah kepada subjeknya sahaja, malah objeknya turut merasakan faedah daripadanya iaitu mendapat keredhaan Allah S.W.T di dunia dan di akhirat. Insya Allah.